Ticker

6/recent/ticker-posts

Berhenti Mengejar, Berhenti Mengemis Cinta Jangan Hilang Harga Diri Demi Insan yang Tak Menghargai

  


Ada kalanya, dalam perjalanan mencari cinta, kita terlalu asyik mengejar seseorang yang kita kasihi, sehingga terlupa bahawa diri sendiri juga layak dikasihi.

Kita menghulurkan kasih tanpa berkira, menabur perhatian tanpa jemu, menanti khabar yang tidak kunjung tiba, bahkan sanggup merendahkan harga diri semata-mata mengharapkan secebis perhatian daripada insan yang belum tentu sudi menerima kita.

  

Aduhai, hati yang sedang dilamun asmara, sampai bilakah hendak begini?

Janganlah terlalu sibuk mencari insan yang kamu sayangi, sehingga terlupa mencari insan yang turut menyayangimu.

Kerana cinta yang hakiki bukanlah perihal siapa yang paling gigih mengejar, siapa yang paling banyak berkorban, atau siapa yang paling lama bertahan dalam penantian. Sebaliknya, cinta yang sejahtera ialah apabila dua hati saling memilih, dua jiwa saling menghargai, dan dua insan sama-sama berusaha memelihara ikatan yang terbina.

Maka, berhentilah try hard untuk memenangi hati seseorang yang tidak pernah bersungguh-sungguh mahu memilikimu. Berhentilah terhegeh-hegeh mengemis kasih daripada insan yang hanya menyambutmu tatkala kesunyian, tetapi melupakanmu tatkala kebahagiaan datang bertandang.

Janganlah pula kamu merayu agar dipilih, sedangkan sejak awal lagi dia tidak pernah berniat menjadikanmu pilihan.

Cinta bukan sesuatu yang harus diemis, dan kasih bukan sesuatu yang wajar dipaksa.

Usahlah kamu menjadi pengemis di pintu hati seseorang yang sengaja membiarkanmu di luar. Bukan kerana kamu tidak cukup baik, bukan kerana kamu tidak layak dicintai, tetapi barangkali hatinya bukan tempat yang ditakdirkan untuk kamu bernaung.

Ingatlah, wahai diri, mahkota harga dirimu tidak seharusnya kamu tanggalkan hanya kerana ingin mengenakan cincin di jari. Jangan sampai kerana terlalu mendambakan sebuah hubungan, kamu kehilangan maruah, ketenangan dan kecintaan terhadap dirimu sendiri.

Andai selama ini hanya kamu yang mencari, hanya kamu yang memujuk, hanya kamu yang berusaha mempertahankan, sedangkan dia sekadar membiarkan, maka belajarlah untuk berundur dengan penuh ketenangan.

Tidak perlu membenci. Tidak perlu berdendam. Tidak perlu pula membuktikan bahawa hidupmu lebih bahagia tanpanya.

Cukuplah dengan berhenti mengejar dan mula menghargai diri sendiri.

Kerana adakalanya, melepaskan bukan bererti kalah dalam percintaan, tetapi tanda bahawa kamu akhirnya sedar akan nilai dirimu yang selama ini kamu abaikan.

Barangkali selama ini kamu terlalu memandang tinggi insan yang kamu cintai, sehingga kamu terlupa bahawa dirimu juga mempunyai harga yang tidak ternilai.

Jangan hanya bertanya, “Siapakah yang aku cintai?”

Tetapi tanyalah juga, “Siapakah yang benar-benar menghargai kehadiranku, menjaga perasaanku dan bersungguh-sungguh mahu berjalan bersamaku?”

Pilihlah insan yang tidak membuatmu tertanya-tanya tentang kedudukanmu dalam hidupnya. Insan yang tidak membiarkanmu berjuang seorang diri. Insan yang memahami bahawa kasih sayang bukan sekadar bicara manis di bibir, tetapi dibuktikan melalui kesungguhan, kejujuran dan perbuatan.

Dan jika hari ini kamu masih belum menemui insan sedemikian, janganlah berasa bahawa hidupmu telah kehilangan makna.

Lebih baik bersendirian dalam ketenangan daripada berdua tetapi sentiasa berasa kesunyian. Lebih baik menanti dengan bermaruah daripada memiliki seseorang yang membuatmu terpaksa merayu untuk mendapatkan kasih yang sewajarnya.

Serahkanlah segala yang tidak mampu kamu genggam kepada Allah. Teruskan memperbaiki diri, memperindah akhlak dan membina kehidupan yang kamu impikan. Jangan jadikan ketiadaan seseorang sebagai alasan untuk berhenti mencintai kehidupanmu sendiri.

Kerana jodoh yang baik bukan sekadar insan yang kamu mahu, tetapi insan yang turut mahu memilihmu, menerima kekuranganmu dan berusaha membina masa depan bersamamu.

Akhirnya, ketahuilah bahawa kamu tidak perlu mengejar setiap insan yang kamu cintai. Ada kalanya, kamu hanya perlu berhenti melangkah ke arah yang salah agar dapat menemukan jalan yang lebih baik.

Biarlah kali ini kamu tidak lagi menjadi insan yang terhegeh-hegeh mengemis cinta, tetapi menjadi insan yang tahu memelihara maruah dan menghargai dirinya sendiri.

Jangan habiskan seluruh usiamu mengejar seseorang yang tidak mahu berpaling kepadamu. Barangkali, ketika kamu berhenti mengejar yang tidak pasti, Allah sedang mempersiapkan seseorang yang akan datang bukan untuk mempermainkan hatimu, tetapi untuk menetap di dalamnya dengan penuh kasih dan tanggungjawab.

Kerana cinta yang layak diperjuangkan tidak seharusnya membuatmu kehilangan dirimu sendiri.

Catat Ulasan

0 Ulasan